top of page

Minum Kopi Setiap Hari? Ini Kesannya Terhadap Badan Anda

Updated: Jan 11, 2023

Kalau anda perasan dalam masyarakat hari ini, ramai yang gemar memulakan hari mereka dengan secawan minuman berkafein gelap yang dipanggil kopi ini.


Mungkin ada yang sukakan kopi pahit, kopi o’, atau kopi dengan krimer pekat manis yang berkrim.


Apa sahaja asalkan kopi!


Kedai-kedai kopi juga semakin meriah dengan kunjungan pelanggan setiap tak kira masa, dengan variasi minuman kopi yang mereka tawarkan.


Bila bercakap tentang baik atau buruknya kopi, ianya bukan perkara yang mudah untuk ditentukan.


Hasil kajian juga sering berubah dari masa ke semasa, namun kebelakangan ini semakin banyak yang mencadangkan kopi lebih bermanfaat untuk kesihatan.


Jadi, apa yang berlaku kepada badan anda jika minum kopi setiap hari?


Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.


1. Anda Boleh Mendapat Ketagihan Kafein


Pasti ramai yang rasa sangat puas apabila dapat menghirup secawan kopi pada waktu pagi, terutamanya jika anda rasa tidak bermaya sebelumnya.


Rasanya “umph” gitu.


Tapi hati-hati kerana anda boleh ketagih dengan kafein jika anda kerap minum kopi setiap hari.


Punca ketagihan ini adalah kafein boleh menghalang reseptor adenosin dalam otak anda.


Reseptor ini merangsang badan anda untuk rasa mengantuk.


Jika anda terus mengambil kopi setiap hari, badan anda akan menghasilkan lebih banyak reseptor adenosin dari masa ke semasa.


Secara mudahnya, anda akan rasa lebih mengantuk dan perlukan kopi hanya untuk mengimbangi kesan yang disebut tadi.


Simptom untuk keadaan keadaan ini termasuk gangguan emosi, sakit kepala, rasa blur, dan keletihan.


Jadi anda perlu kawal pengambilan minuman kopi anda untuk mengelakkan keadaan seperti ini berlaku.


2. Anda Akan Menjadi Lebih Peka dan Kurang Murung


Walaupun kopi boleh menjejaskan reseptor adenosin dan menyebabkan ketagihan kafein, namun ada juga kebaikan dalam keburukan.


Ini kerana dengan menghalang reseptor adenosin dan mengurangkan kadar adenosin, kadar dopamin dan norepinefrin boleh meningkat dan ini boleh membuatkan anda lebih bertenaga.


Bukan itu sahaja, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa mereka yang mengambil kopi lebih cenderung untuk tidak mengalami kemurungan.


Selain itu, kajian lain juga mengatakan individu yang minum lebih 4 cawan kopi setiap hari lebih cenderung untuk tidak membunuh diri.


Walaupun 4 cawan sehari nampak macam banyak, tapi ianya tetap fakta.


3. Tidur Anda Mungkin Terganggu


Minum kopi setiap hari adalah tabiat yang biasa bagi kebanyakan individu, terutamanya pada waktu pagi.


Namun jika anda minum kopi selepas waktu tengahari, anda mungkin akan berhadapan dengan insomnia.


Ini kerana kafein boleh mempunyai kesan selama 6 jam.


Jadi jika anda mengambil kopi pada pukul 4 petang, anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk tidur sebelum pukul 10 malam.


Jika anda mengalami kesukaran untuk tidur, cuba ubah waktu anda minum kopi.


Kalau boleh, hanya minum kopi pada waktu pagi sahaja.



4. Anda Boleh Melindungi Otak Anda Daripada Penyakit


Jika anda gemar minum kopi setiap hari, anda boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan saraf seperti Alzheimer dan Parkinson.


Yang menariknya, manfaat ini bukannya disebabkan oleh kafein, namun kerana satu bahan yang dipanggil fenilindan yang melindungi otak daripada protein toksik yang menyebabkan penyakit otak.


Fenilindan ini akan bertambah jumlahnya apabila anda memanggang biji kopi.


Jadi, anda yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit Alzheimer atau Parkinson boleh cuba minum kopi setiap hari.


5. Anda Boleh Menguatkan Daya Ingatan


Selain mengelakkan penyakit saraf seperti Alzheimer dan Parkinson, kopi juga dipercayai boleh menguatkan ingatan anda.


Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa peserta yang mengambil kafein dapat meningkatkan keupayaan untuk mengingati imej lebih tinggi berbanding peserta yang tidak mengambil kafein.


Ini menunjukkan bahawa kafein dapat menguatkan daya ingatan.


6. Jika Anda Hamil, Kopi Mungkin Berbahaya Untuk Anda


Setiap wanita yang hamil perlu menjaga kesihatan badan mereka dengan baik, dan ini termasuk mengawal pemakanan mereka.


Kafein tidak sesuai diambil oleh wanita hamil kerana dikhuatiri boleh menjejaskan bayi dalam kandungan.


Ini kerana janin tidak boleh menghadam kafein dengan baik, ia tidak mempunyai kebolehan untuk melarutkan kafein dalam salur darah.


Ini boleh menjejaskan janin, menyebabkan ia kekurangan nutrisi.


Kesimpulan Kesan Minum Kopi Setiap Hari


Walaupun kopi dapat memberikan banyak kebaikan pada kesihatan anda, ini tidak bermaksud anda boleh mengambilnya secara berlebihan.


Anda boleh minum kopi, tapi cuba kawal kadar pengambilannya bersesuaian dengan keadaan kesihatan anda.


Sesetengah individu tidak mempunyai toleransi yang kuat terhadap kopi dan boleh mendapat kesan sampingan seperti gelisah dan kadar degupan jantung meningkat.


Sampai di sini sahaja perkongsian kami pada kali ini. Semoga perkongsian ini dapat memberi banyak manfaat kepada anda.


Nak Buat Kopi Pracampuran Jenama Sendiri? Baca Sini.



ree


Comments


bottom of page