9 Manfaat Kopi Untuk Kesihatan
- Abam Peah
- Oct 1, 2022
- 4 min read
Updated: Jan 11, 2023
Buat para penggemar kopi, artikel kali ini pasti sangat menarik untuk anda kerana kami akan kongsikan mengenai manfaat kopi.
Okay mungkin bukan semua sukakan kopi, tapi sebahagian besar masyarakat hari ini pasti inginkan sekurang-kurangnya satu hidangan kopi untuk membantu mereka kekal produktif setiap hari.
Ramai yang tahu bahawa kopi boleh membantu kebanyakan individu menajamkan fokus dan meningkatkan tahap tenaga mereka.
Selain daripada itu, kopi juga sering dikaitkan dengan beberapa potentsi manfaat kesihatan, membuatkan minuman ini sangat popular terutamanya pada waktu pagi.
Dalam perkongsian kali ini, kami akan jelaskan kepada anda tentang 9 manfaat kopi untuk kesihatan tubuh badan anda.
Jom teruskan membaca.
1. Meningkatkan tenaga
Mesti ramai yang dah tahu, kopi ini mengandungi kafein iaitu perangsang sistem saraf pusat yang boleh memberikan lebih tenaga dan menghilangkan keletihan.
Ini kerana kafein menghalang reseptor neurotransmitter yang dipanggil adenosin, dan ini meningkatkan tahap neurotransmitter lain dalam otak anda yang mengawal kadar tenaga, termasuk dopamin.
Satu kajian mendapati bahawa pengambilan kafein meningkatkan masa yang diperlukan untuk letih ketika berbasikal sebanyak 12% dan mengurangkan keletihan dengan ketara dalam kalangan peserta.
2. Menurunkan Risiko Diabetes Tahap 2
Beberapa kajian mengatakan bahawa pengambilan kopi secara berkala boleh dikaitkan dengan pengurangan risiko diabetes tahap 2 dalam jangka masa panjang.
Sebenarnya, ulasan daripada 30 kajian mendapati bahawa secawan kopi yang diminum setiap hari dikaitkan dengan penurunan risiko diabetes tahap 2 sebanyak 6%.
Ini dianggap mungkin kerana kebolehan kopi untuk memelihara fungsi sel beta dalam pankreas anda, yang bertanggungjawab untuk menghasilkan insulin dan mengawal kadar gula dalam darah.
3. Boleh Menyokong Kesihatan Otak
Sesetengah kajian mencadangkan bahawa kopi mungkin boleh membantu mengelakkan gangguan neurodegeneratif tertentu, termasuk penyakit Alzheimer dan Parkinson.
Menurut satu ulasan 13 kajian, mereka yang kerap mengambil kafein mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit Parkinson.
Bukan itu sahaja, pengambilan kafein juga melambatkan proses perkembangan penyakit Parkinson dari masa ke semasa.
Dalam ulasan lain terhadap 11 kajian pemerhatian dalam lebih 29000 orang peserta juga mendapati bahawa lebih banyak kopi seseorang itu ambil, lebih rendah risiko untuknya mendapat penyakit Alzheimer.
4. Boleh Mengawal Berat Badan
Menurut beberapa kajian, kopi boleh mengubah penyimpanan lemak dan menyokong kesihatan perut, kedua-duanya membantu dalam mengawal berat badan.
Contohnya, satu ulasan kepada 12 kajian telah membuat kesimpulan bahawa pengambilan kopi yang lebih tinggi boleh dikaitkan dengan penurunan lemak badan terutamanya dalam kalangan lelaki.
Dalam kajian lain pula mendapati bahawa mereka yang mengambil 1-2 cawan kopi setiap hari adalah 17% lebih cenderung untuk memenuhi tahap aktiviti fizikal yang disyorkan berbanding mereka yang minum kurang secawan kopi setiap hari.
5. Menurunkan Risiko Kemurungan
Beberapa kajian mendapati bahawa pengambilan minuman kopi boleh dikaitkan dengan risiko kemurungan yang lebih rendah.
Menurut kajian yang dijalankan, setiap cawan kopi yang diminum setiap hari boleh menurunkan risiko kemurungan sebanyak 8%.
Kajian lain juga telah dijalankan terhadap lebih 200000 orang dan menunjukkan pengambilan kopi boleh menurunkan kadar bunuh diri.
6. Menjaga Kesihatan Hati
Beberapa kajian mencadangkan bahawa kopi boleh membantu menyokong kesihatan hati dan mencegah penyakit.
Contohnya, satu kajian mendapati bahawa dengan meminum lebih 2 cawan kopi setiap hari dapat menurunkan kadar radang hati dan kanser hati dalam kalangan pesakit yang mempunyai masalah hati.
Kajian lain pula menunjukkan lebih banyak kopi yang diminum boleh menurunkan kadar kematian disebabkan penyakit hati kronik .
Secawan kopi boleh menurunkan risiko sebanyak 15%, manakala 4 cawan kopi sehari menurunkan risiko sebanyak 71%.
7. Menjaga Kesihatan Jantung
Beberapa kajian mencadangkan dengan minum 3-5 cawan kopi setiap hari, anda boleh menurunkan risiko penyakit jantung sebanyak 15%.
Terdapat ulasan daripada 21 kajian juga mendapati bahawa 3-4 cawan kopi yang diminum setiap hari boleh dikaitkan dengan penurunan sebanyak 21% dalam risiko strok.
Selain itu, satu kajian yang melibatkan 21000 orang juga mendapati dengan mengambil kopi secara lebih banyak dapat mengurangkan risiko kegagalan jantung.
Bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa kafein boleh mempengaruhi kadar tekanan darah, jadi individu dengan masalah tekanan darah mungkin perlu berjaga-jaga dalam mengambil kafein.
Baca Juga : Kilang OEM Makanan & Minuman Kesihatan
8. Meningkatkan jangka hayat
Beberapa kajian mencadangkan bahawa kopi boleh membantu memanjangkan usia anda, hasil daripada manfaat kesihatannya yang banyak.
Sebagai contoh, satu ulasan kepada 40 kajian telah membuat kesimpulan bahawa 2-4 kopi yang diminum sehari dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah, tanpa mengira umur, berat badan, dan pengambilan alkohol.
Menariknya, terdapat juga kajian makmal yang mendapati bahawa kopi boleh memanjangkan jangka hayat yis dengan melindunginya daripada radikal bebas dan kerosakan DNA.
9. Boleh Meningkatkan Prestasi Sukan
Kopi sering digunakan sebagai bantuan ergogenik oleh para atlet untuk meningkatkan prestasi dan tenaga.
Bantuan ergogenik di sini juga boleh digelar penambah prestasi.
Satu ulasan terhadap 9 kajian melaporkan bahawa minum kopi sebelum bersenam dapat meningkatkan ketahanan dan mengurangkan rasa letih.
Kajian lain yang melibatkan 126 orang dewasa juga mendapati bahawa kopi boleh meningkatkan prestasi fizikal dan kepantasan berjalan.
Selain itu, satu tinjauan melaporkan bahawa pengambilan kopi secara sederhana boleh meningkatkan tenaga dan menyiapkan tugasan dengan lebih pantas.
Baca Juga : Kopi Pracampuran Jenama Sendiri
Kesimpulan Manfaat Kopi
Minuman kopi sememangnya sangat popular dalam kalangan masyarakat hari ini dan banyak kajian yang menyokong bahawa ianya bermanfaat untuk kesihatan.
Namun anda perlu ingat bahawa bukan semua individu boleh mengambil kopi dalam jumlah yang banyak kerana dikhuatiri boleh menyebabkan komplikasi kesihatan.
Sampai di sini sahaja perkongsian kami mengenai 9 manfaat kopi untuk kesihatan pada kali ini. Team Abam Peah ada tawarkan konsultansi percuma khas untuk anda yang berminat untuk keluarkan kopi jenama anda sendiri.
Untuk informasi lanjut, anda boleh klik button di bawah.
Comments